Video Paip Minyak Bawah Tanah Bocor, Laut Yang Tenang Menjadi Api Yang Menyala

Baru-baru ini, insiden yang tidak dijangka apabila saluran paip minyak bawah laut terbakar dan meletup menyebabkan sebahagian perairan di Teluk Mexico bertukar menjadi ‘lautan api’ dalam satu kejadian berlaku semalam. Menurut kenyataan syarikat pengeluar minyak Petroleus Mexicanos (Pemex), insiden berlaku berpunca daripada kebocoran gas pada saluran paip bawah laut yang menghubungkan ke platform pengeboran pesisir Ku Maloob Zaap.

Kebakaran berskala besar itu berlaku kira-kira 150 meter dari pelantar penggerudian minyak Maloob Zaap yang terletak di barat Semenanjung Yucatan sebelum dikesan melalui satelit.


Sejurus itu, pasukan keselamatan Mexico dengan kekuatan tiga buah bot pemadam api bergegas ke lokasi kejadian bagi mengelakkannya merebak lebih jauh. Difahamkan daripada laporan portal Daily Mail, Pemex memaklumkan bahawa pihaknya menggunakan kapal pengawal kebakaran untuk mengepam air di atas api.

Sementara sumber lain mengatakan, mereka menggunakan bahan berunsur nitrogen untuk memadamkannya. Ketika kerja-kerja pemadaman api berjalan, injap saluran terpaksa ditutup buat sementara waktu. Setelah hampir lima jam pasukan keselamatan bertungkus-lumus, akhirnya api yang membentuk seakan bulatan ‘mata’ di tengah lautan itu berjaya dipadam.

Sumber: Twitter (@MLopezSanMartin)

Bagaimanapun, punca kejadian akan disiasat dengan lebih lanjut, memetik laporan daripada portal rasmi Daily Mail. Kesan daripada insiden, mesin turbomach yang aktif di Ku Maloob Zaap terjejas teruk akibat ribut elektrik dan hujan lebat.

Dilaporkan tiada sebarang kecederaan serta kematian yang direkodkan setakat ini, malah kejadian berkenaan bukanlah kali pertama yang dialami Pemex. Pada 2015 lalu, letupan serupa pernah berlaku hingga menyebabkan empat pekerja terkorban, 16 cedera dan lebih 300 lagi berjaya diselamatkan. Insiden sebelum ini berlaku di pelantar minyak Abkatun A-Permanente.

kredit i am lejen