Tinggal di stor baja tanpa bekalan elektrik, air

Kota Bharu: Lima beranak dari Kampung Pasir Tok Kambing di sini, sudah menjadikan stor baja yang tiada bekalan elektrik dan air sebagai kediaman sejak lebih setahun lalu.

Stor itu dibahagi kepada dapur, bilik tidur dua anak perempuan dan ruang simpanan pakaian dengan jaring dipasang untuk menutup ruang terbuka di bahagian hadapan yang turut dijadikan tempat tidur R Monaliza R Berahim, 42, suaminya, Azlin Abdul Ghani, 46, dan anak lelaki mereka.

Menurut R Monaliza, suaminya adalah peserta program penanaman sayur di bawah Jabatan Pertanian Negeri dan mereka tinggal di stor milik agensi itu yang merupakan tempat menyimpan baja, racun dan pelbagai mesin.

“Sudah hampir 10 tahun suami menanam sayur dan sebelum ini kami menumpang rumah saudara kerana mengusahakan tanaman di tapak yang lain.


“Sekarang kami berpindah ke kawasan ini untuk mengusahakan tanah yang disewa RM200 setahun, namun belum rezeki apabila tanaman tidak begitu menjadi bahkan dua tahun kebelakangan ini, belum ada pulangan lumayan, menyebabkan kami terduduk,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

R Monaliza berkata, ketika ini mereka menanam kunyit, mentimun dan jagung yang mana modal bagi tanaman itu menggunakan wang i-Sinar diperoleh suami.

Katanya, mereka juga memilih tinggal di stor itu bagi memudahkan kerja penanaman selain, enggan lagi menyusahkan saudara mara, tambahan pula tiga anak semakin membesar iaitu anak perempuan berusia 14 dan 16 tahun, manakala anak lelaki 11 tahun.

“Tiada bekalan elektrik dan tandas di stor ini jadi, kami terpaksa buang air di kawasan semak, manakala mandi pula menggunakan air perigi,” katanya yang memberitahu mereka turut diancam haiwan berbisa berikutan persekitaran semak.

Keluarga itu tidak mampu untuk menyewa rumah lain dan berharap suatu hari nanti dapat membina rumah sendiri di tanah pusaka milik Azlin.

Terdahulu, lima beranak terbabit menerima kunjungan kumpulan aktivis masyarakat, Cempaka Merah Asnaf Society diwakili Che Norhayati Mohamed yang hadir menyampaikan sumbangan barangan keperluan dan zakat.

Turut sama wakil Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor iaitu Setiausaha DUN, Alam Solah Awang Lah yang memberi jaminan akan membaik pulih stor itu dengan kebenaran pihak berkaitan dan menyediakan keperluan lain.

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Sumber : HMetro