Anak yatim piatu berusia dua tahun menangis memanggil ibu di kubur

DUNGUN – Panggilan seorang anak berusia dua tahun kepada ibunya saat wanita itu dikebumikan meruntun hati ahli keluarga yang lain sehingga terpaksa memujuknya.

Nuraishah Ali Khan, 26, berkata, anak saudaranya, Aqeel Zayaan Mohd. Zuki berkelakuan begitu semasa ibunya, Nur Farraheeda, 41, dan bapanya Mohd. Zuki Yusof, 44, serta kakaknya, Nasyreen Umayra, 10, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Al Muktafi Billah Shah (AMBS) dekat sini semalam.

“Sayu melihat kelakuan Aqeel Zayaan yang masih tidak mengerti dia kini sudah menjadi yatim piatu. Dia terpinga-pinga sewaktu dibawa menghadiri ­majlis pengebumian ibu, ayah dan kakaknya.

“Berkali-kali Aqeel Zayaan memanggil ibunya sehigga kami terpaksa memujuknya. Mungkin sebab dia masih menyusu badan terutama pada waktu malam, kerinduan terhadap ibunya terlalu kuat,” katanya dalam keadaan sebak di sini semalam.


Kosmo! semalam melaporkan Nur Faraheeda, Mohd. Zuki dan Nasyreen Umayra maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV), Subaru XV yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas di Kilometer 25, Jalan Paka- Al Muktafi Billah Shah (AMBS) dekat sini.

Kemalangan ngeri itu turut menyebabkan anak sulung pasangan itu, Damia Irdina, 13, patah bahu kiri.

Bercerita lanjut, Nuraishah berkata, dia terkilan apabila hajat kakaknya untuk meraikan ulang tahun kelahiran kedua Aqeel Zayaan pada 17 Julai ini tidak kesampaian.

Katanya, kakaknya telah me­nempah kek untuk sambutan berkenaan beberapa hari lalu.

“Selalunya arwah kakak saya akan membuat persiapan sam­butan hari lahir anak-anaknya pada saat-saat akhir tetapi kali ini awal tiga minggu.

“Selain itu, dia juga kerap menghantar gambar telatah Aqeel Zaayan kepada saya menerusi aplikasi WhatsApp sejak seminggu lalu,” ujarnya.

Nuraishah memberitahu, dia bermimpi Nur Farraheeda me­mintanya menjaga anak-anak­nya, Isnin lalu.

“Saya ingat nak cerita mengenai perkara (mimpi) itu dengan kakak petang semalam apabila dia pulang ke rumah tetapi tidak kesampaian.

“Rupa-rupanya yang pulang ke rumah cuma jenazahnya, abang ipar dan anak saudara saya. Mungkin itu petanda agar saya dan ahli keluarga lain menjaga amanah (anak-anak) mereka,” ujarnya.

Sumber asal : kosmo.com

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!