WANITA INI PASRAH 3 KALI BERPANTANG TANPA BAYI DI SISI, ANAK-ANAKNYA ‘PERGI’ DULU TUNGGU DI SYURGA – “SETIAP KALI H4MIL TAK SEMPAT MENYUSU SEPERTI IBU LAIN”

BUKAN mudah untuk berdepan situasi saat diuji dengan kehilangan anak ketika dalam kandungan.

Bukan sekali atau dua, sebaliknya seorang wanita terpaksa berdepan tiga kali situasi sukar menyaksikan tiga anak dilahirkan secara pramatang dan seterusnya berpantang tanpa kehadiran bayi.

Menerusi perkongsian video di aplikasi TikTok yang mengundang sebak, wanita berkenaan berkongsi pengalaman kehilangan cahaya mata tanpa sempat disusukan.


Berkongsi pengalaman, Sharifah Nuratiqah Syed Abdul Rahim berkata, dia kehilangan cahaya matanya ketika usia kandungan masing-masing berusia 19 minggu pada 2016, 21 minggu (2018) dan 22 minggu (2019).


Sharifah hamil tiga kali sejak berkahwin pada 2014.

Wanita berusia 35 tahun itu memberitahu, kehilangan itu disebabkan dirinya mengalami masalah pangkal rahim yang lemah, yang menyebabkan kelahiran bayi pramatang.


“Bila kandungan makin besar, rahim tak dapat nak tampung. Rasa sakit macam rasa nak bersalin secara normal sehingga melahirkan bayi pramatang.

“Saya sedih apabila setiap kali hamil tapi tak sempat bawa bayi pulang ke rumah dan menyusukannya sebagaimana yang dirasai oleh ibu-ibu lain,” katanya kepada mStar.


Pusara tiga anak Sharifah dan suami.

Lebih mesra disapa Sharifah, katanya, suaminya yang berusia 31 tahun merupakan penyokong paling kuat dalam mengharungi ujian getir ini sejak mereka mendirikan rumah tangga pada 2014.

“Suami tak pernah jemu menunggu di luar bilik bersalin dan suami juga yang menguruskan pengebumian anak-anak kami yang sudah cukup sifat.

“Tempoh berpantang paling mencabar kerana tiada anak di sisi. Saya bersyukur mempunyai suami yang sangat penyabar, tenang dan sentiasa memberi semangat dan sokongan kepada saya dalam keadaan yang begitu emosi,” ujarnya yang berasal dari Kulai, Johor.


Nama-nama tiga cahaya mata Sharifah.

Menurut wanita itu yang kini menetap di Kelantan bersama suaminya, dia menerima ketentuan Ilahi atas pemergian tiga cahaya matanya yang terdiri daripada dua perempuan dan seorang lelaki.

“Orang lain mengandung gembira, kalau saya hamil jadi bimbang kerana berisiko. Risau nanti sakit bila kandungan capai usia empat ke lima bulan.

Orang lain mengandung gembira, kalau saya hamil jadi bimbang kerana berisiko. Risau nanti sakit bila kandungan capai usia empat ke lima bulan

SHARIFAH

“Suami kata dia tak kisah pun kalau kami ada zuriat atau tak ada zuriat. Semuanya atas kehendak Allah. Saya tahu suami pun sedih, tapi dia tak nak tunjuk kesedihannya.

“Saya bersyukur kerana suami menerima saya seadanya sebagai isteri yang belum dapat mengurniakan zuriat buat kami berdua,” kata suri rumah itu sambil menambah suaminya bertugas sebagai warden penjara.


Sharifah (kiri) dan suami tidak berputus asa untuk mendapatkan zuriat.

Dalam pada itu, Sharifah kini menjual tudung secara sambilan dan membuat simpanan untuk membolehkannya berjumpa dengan pakar sakit puan sekiranya hamil pada masa akan datang.

Jelasnya, perkongsian video berkenaan di aplikasi TikTok untuk memberi kesedaran kepada wanita untuk sentiasa mendapatkan nasihat doktor sekiranya mengalami masalah kehamilan.

“Saya juga amat berharap agar kami suami isteri terus diberikan kekuatan untuk menempuh ujian ini dan terus berusaha untuk mendapatkan zuriat.

“Naluri keibuan saya begitu kuat, dan saya tidak pernah berputus asa. Doakan kami agar segala urusan untuk memperoleh cahaya mata dipermudahkan,” katanya.

SUMBER,MSTAR