Menteri Sumber Manusia, M Saravanan hari ini menegur majikan khususnya dalam sektor peruncitan kerana lebih gemar mengambil pekerja asing berbanding mengutamakan pekerja tempatan.

Saravan yang juga anggota parlimen Tapah berkata, majikan perlu berhenti menggunakan alasan pekerja tempatan tidak mahu bekerja demi menggajikan pekerja asing dengan bayaran lebih murah.

“Kalau kita lihat ada juga majikan yang beri alasan untuk tidak ambil pekerja warga tempatan seperti KK Mart dan 7Eleven.

“Tetapi di Family Mart kita lihat 100 peratus menggunakan warga tempatan, dari segi perniagaan yang sama.

Kalau Family Mart boleh gunakan pekerja tempatan, apa alasan 7E dan KK Mart? Kalau kita lihat jika ada pekerja asing, majikan tidak perlu bayar kerja lebih masa, tak perlu bayar Socso, EPF dan sebagainya.

“Mereka ambil kesempatan dan saya hanya minta majikan jangan ambil kesempatan. Bagilah pendapatan yang lumayan kepada pekerja tempatan kerana mereka akan tetap bekerja.

“Jangan tunjuk segelintir pekerja tempatan yang enggan bekerja sebagai alasan untuk mengelak menggaji pekerja tempatan,” katanya dalam siaran langsung bersama Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi di Facebooknya, hari ini.



Mengulas persoalan kenapa majikan di negara ini lebih gemar menggaji warga asing, Saravanan yang juga timbalan presiden MIC berkata kabinet telah bersetuju menubuhkan jawatankuasa kebanet bagi membincangkan permasalahan ini.

Katanya, jawatankuasa yang akan dipengerusikan Menteri Kanan, Ismail Sabri Yaakob itu akan meneliti serta memperhalusi dasar baru mengikut perkembangan dan cabaran semasa dengan norma baru yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Saya cadangkan kepada syarikat sedia ada untuk memanfaatkan warga tempatan, yang mana kita lihat hari ini ramai ibu-ibu tunggal yang perlukan bantuan dan sanggup bekerja, ada juga golongan belia masih mencari peluang pekerjaan ekoran kesempitan hidup.

“Jadi, inilah masanya untuk kita menggalakkan syarikat-syarikat besar gunakan warga tempatan.

“Negara kita kini berada di dalam satu keadaan yang luar biasa dan perkara yang perlu ditekankan kini adalah keikhlasan semua pihak, tak kira majikan, pekerja, persatuan, pihak kerajaan atau pun semua masyarakat majmuk sedia ada. Semua kena ikhlas,” katanya.

‘Kaji peluang pekerjaan di luar negara’

Selain itu, Saravanan juga menggesa rakyat Malaysia mempertimbangkan peluang pekerjaan di luar negara.

Mengambil contoh Jepun, Saravanan berkata gaji pokok pekerja di negara matahari terbit itu sahaja berjumlah RM8,500.

Oleh demikian, Saravanan berkata pihaknya kini dalam perbincangan dengan Kedutaan Jepun bagi mencari peluang perkerjaan di sana.

“Kementerian Sumber Manusia sedang mengkaji peluang pekerjaan bukan sahaja di sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) tetapi juga peluang pekerjaan di luar negara.

“Contohnya, hari ini kita melihat peluang pekerjaan di Jepun cukup baik di mana sektor pembuatan dari negara lain dibawa masuk balik ke Jepun.

Maka, rakyat Malaysia patutnya menerima cabaran ini untuk mencari peluang pekerjaan di luar negara,”katanya.

Sumber:Malaysiakini